KUALA LUMPUR – Tindakan kejam seorang kanak-kanak lelaki didakwa mencampak dua anak kucing dari tempat tinggi di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, mendapat perhatian warganet.

Kejadian tidak berperikemanusian itu dikesan selepas beberapa gambar bangkai kucing dan kanak-kanak lelaki itu serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular selepas dimuat naik di laman media sosial.

Menerusi hantaran pengguna akaun Instagram, Shimaaris mendakwa dua anak kucing itu milik seorang penghuni tingkat lima pangsapuri terbabit yang diletakkan di dalam sangkar hadapan rumahnya.

Haiwan peliharaan itu didakwa dilarikan oleh kanak-kanak terbabit dan ditemui mati dengan kesan darah di tingkat empat bangunan sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian beberapa kucing mati di kawasan perumahan tersebut.

“Kita telah menerima sebanyak empat laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan semakan mendapati tiada laporan baharu diterima pada bulan ini.

“Laporan terkini yang dibuat pada Julai lalu dan selepas laporan diterima, pihak polis sudah melawat ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, kes terbabit sudah dirujuk kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, penduduk Pangsapuri Seri Nilam, Bandar Baru Ampang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kejadian penderaan dan pembunuhan kucing jalanan yang berlaku di kawasan perumahan itu.

Mereka menuntut agar pelaku dikenakan hukuman setimpal mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015, susulan beberapa kejadian kejam melibatkan kucing yang didakwa diracun dan dibuang dari tingkat tinggi sejak awal bulan Julai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast