Nasrun Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin menggesa pihak berkuasa agar membuka siasatan menyeluruh berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.

Menurutnya, kegagalan pihak bertanggungjawab menjalankan prosedur asas seperti bedah siasat (post-mortem) menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelajar bawah umur.

“Kematian secara mengejut seorang pelajar muda di asrama tanpa siasatan lanjutan adalah sesuatu yang amat meragukan dan tidak boleh diterima.

“Secara amnya, mana-mana kematian mengejut melibatkan individu bawah umur 40 tahun mesti menjalani post mortem untuk menentukan punca kematian secara rasmi.

”Jika prosedur asas ini pun tidak dilaksanakan, kita wajar bertanya apa yang sedang disembunyikan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasrun menyifatkan insiden ini bukan sekadar kes terpencil, sebaliknya ia membabitkan soal nyawa, kepercayaan dan keselamatan anak-anak yang tinggal di asrama.

Hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) berpendapat terdapat keperluan untuk siasatan lanjut kes kematian Allahyarham diambil semula oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam satu kenyataan, jabatan itu mahu PDRM memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan.

Arahannya termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah. -MalaysiaGazette

Peguam Negara arah PDRM siasat semula kes Zara termasuk gali kubur, bedah siasat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast