CORDOBA – Kebakaran membabitkan sebuah masjid yang ditukar daripada gereja di Cordoba, selatan Sepanyol mengakibatkan kerosakan terhad dan kawasannya telah dibuka semula kepada orang awam semalam, kata Datuk Bandar semalam.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9 malam Khamis menimbulkan kebimbangan kemusnahan terhadap permata senibina itu dan ia mengembalikan ingatan kepada kemusnahan gereja Notre Dame pada 2019.
Rakaman video yang dikongsi memaparkan api dan asap menjulang dari dalam bangunan tarikan pelancong yang dianggap sebagai permata senibina Islam dan dilawati lebih dua juta orang setiap tahun.
“Terdapat beberapa kerosakan, kerosakan signifikan tetapi ia adalah sangat-sangat terhad,” kata Datuk Bandar Cordoba, Jose Maria Bellido kepada wartawan yang berada di lokasi yang mana ia dibuka semula kepada orang awam pada pagi Sabtu.
Kebanyakan kerosakan tertumpu di dalam masjid di mana kebakaran berlaku, yang mana atap runtuh berikutan kebakaran itu dan beban akibat air yang digunakan untuk memadamkan kebakaran tersebut, katanya ketika ditemu bual rangkaian televisyen Sepanyol.
Beliau menjangkakan kebakaran tersebut memusnahkan antara 50 hingga 60 meter persegi bahagian dalaman bangunan yang terletak di tengah Cordoba, dikelilingi kawasan kependudukan Yahudi dan Islam dari Afrika lama.
“Bernasib baik semalam, satu bencana dielakkan daripada kehilangan keseluruhan masjid-gereja ini,” katanya.
Beberapa jentera bomba dan kenderaan polis berada di jalan berhampiran bangunan itu ketika orang ramai berkumpul untuk melihat bangunan tersebut, menurut jurugambar AFP yang berada di lokasi.
Kawasan yang rosak, dikenali bahagian tengah Almanzor, ditutup dengan penghadang setinggi bahu.
Seramai 35 anggota bomba bekerja sepanjang malam bagi memantau kawasan itu selain menyejukkan dinding selepas kebakaran dipadamkan, kata ketua perkhidmatan bomba Cordoba, Daniel Munoz.
Anggota bomba melakukan latihan tahunan di bangunan tersebut sejak ia terbakar pada 2001 dan ia memudahkan mereka untuk mengawal kebakaran itu, tambah beliau.
“Ini membolehkan mereka mengetahui semua pintu masuk dan koridor di mana mereka boleh menggantung hos,” katanya.
Polis forensik berada di lokasi kejadian bagi menentukan punca kebakaran.
Kawasan tersebut dibina sebagai sebuah masjid, di lokasi gereja didirikan terlebih dahulu, antara abad ke 8 hingga 10 di selatan bandar oleh pemerintah Islam, Abd ar-Rahman pada zaman pemerintahan Umaiyah.
Selepas Kristian menakluk Sepanyol pada abad ke 13 di bawah Raja Ferdinand III dari Castile, bangunan tersebut ditukar kepada gereja dan diubah suai senibinanya pada abad berikutnya.
Pada 1984, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan bangunan tersebut sebagai Kawasan Warisan Dunia dengan menggelarnya ‘kacukan senibina yang menggabungkan banyak nilai seni Timur dan Barat dan termasuk unsur-unsur yang belum pernah didengari dalam seni bina agama Islam, termasuk penggunaan gerbang berganda’. – AFP
















