KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di seluruh Pahang melaksanakan solat hajat khas untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menurut kenyataan di Facebook Kesultanan Pahang, solat hajat itu bertujuan memohon kepada Allah SWT agar segala urusan berkaitan proses keadilan bagi Zara Qairina dipermudahkan serta kebenaran dapat ditegakkan.
“Baginda turut menyampaikan doa agar ibu bapa serta keluarga Allahyarhamah dikurniakan ketabahan, kekuatan, dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini,” titahnya.
Untuk rekod, semalam kubur Allahyarhamah Zara Qairina telah digali semula, dan jenazahnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II, Sabah untuk tujuan bedah siasat.
Penggalian semula kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, semalam mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada jam 7.31 malam selepas dimulakan pada jam 6.04 petang.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar itu meninggal dunia pada 16 Julai lalu selepas dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang pada jam 4 pagi. – MalaysiaGazette
















