KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa berhubung protes menolak Akta Hasutan 1948 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 29 Julai lalu.
Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, beliau yakin tiada kesalahan yang dilakukan beliau mahupun mana-mana pimpinan Armada Bersatu ketika melakukan protes terhadap Akta Hasutan.
“Hari ini saya hadir temu janji jam 11 pagi, saya telah menyatakan kepada pihak polis bahawa saya akan memberi kerjasama sehabis baik untuk melengkapkan siasatan ini.
“Bagi kami, tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pimpinan kita semasa melaksanakan Himpunan Solidariti Tolak Akta Hasutan di hadapan IPD Dang Wangi,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Bukit Aman, di sini, hari ini.
Terdahulu, Hilman dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk diambil keterangan berhubung Himpunan Menolak Akta Hasutan 1948 di hadapan IPD Dang Wangi, di sini, 29 Julai lalu.
Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid sebelum ini memaklumkan, ADUN Gombak Setia itu telah menerima panggilan daripada Pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas PDRM, Bukit Aman.
Selain itu, kehadiran Hilman ke Bukit Aman pagi ini diiringi peguamnya, Mahajoth Singh Darshan Singh.

Turut hadir isterinya, Nurul Iftitahiyah bersama kira-kira 50 anggota Armada Bersatu yang menyatakan solidariti kepada Hilman.
Dalam pada itu, Hilman turut berkata, tindakan pihak polis terhadap dirinya tidak menghalang Armada Bersatu daripada memenuhi tuntutan mereka termasuk untuk menurunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Saya yakin dengan apa juga keadaan saya dan seluruh kepimpinan Armada kita siap untuk melanjutkan perjuangan untuk menumbangkan kerajaan pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















