PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, pasukan polis tidak bertindak sewajarnya untuk mengesan keberadaan seorang mualaf dan menangkapnya dalam usaha mengembalikan anak bongsu perempuan yang dilarikan ketika berusia 11 bulan kepada bekas isteri, M. Indira Gandhi.
Peguam, Rajesh Nagarajan berhujah, wujud anggapan Muhammad Riduan Abdullah masih berada di negara ini kerana lelaki itu dikesan memiliki beberapa kenderaan yang didaftarkan atas namanya dan membayar saman atas pelbagai kesalahan trafik.
“Saman tersebut dikeluarkan pada tahun 2020 dan ini menunjukkan lelaki itu bebas memandu meskipun dia dilaporkan menghilangkan diri pada 2009,” ujar beliau dalam hujahannya.
Rajesh menyatakan demikian dalam rayuan anak guamnya, Indira Gandhi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman RM100 juta yang dikemukakan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga lagi.
Guru tadika itu menyaman KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan kerana didakwa gagal menangkap bekas suaminya yang turut dikenali sebagai K. Pathmanathan dan mengembalikan Prasana Diksa yang kini berusia 17 tahun.
Pada 28 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak samannya selepas mempertimbangkan bukti usaha dilakukan KPN ketika itu, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan PDRM tidak menunjukkan sebarang pengabaian tugas.
Rajesh selanjutnya berhujah, polis gagal mengemas kini maklumat berhubung keberadaan Muhammad Riduan dan menangkapnya bagi membolehkan anak mereka, Prasana Diksa dikembalikan kepada ibunya.
Remaja perempuan itu diambil Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam pada April 2009.
Lelaki itu kemudian menukar agama ketiga-tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, Karan Dinish masing-masing ketika itu berusia 12 dan 11 tahun dan Prasana Diksa tanpa pengetahuan ibu mereka.
Rajesh berkata, ‘tidak masuk akal’ apabila pihak polis mengarahkan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) (sekarang sudah distruktur semula) untuk mencari Muhammad Riduan.
Beliau berkata, STAFOC adalah untuk jenayah terancang dan tidak munasabah untuk polis menggunakan pasukan itu hanya untuk mengesan seorang bapa yang melarikan diri bersama anak perempuannya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb yang mewakili pihak kerajaan berhujah, pasukan polis telah mengambil tindakan yang munasabah dalam mematuhi perintah komital yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan 29 April 2016.
Hujah beliau, kenyataan KPN ketika itu menunjukkan tidak wujud niat jahat mengaitkan pasukan polis mengabaikan tugas dan tidak cuba mengesan Muhammad Riduan.
Menurut Nur Ezdiani, afidavit Asisten Supritendan Yap Siew Cheng berhubung senario siasatan mengenai perintah mandamus untuk mengembalikan Prasana Diksa termasuk mengeluarkan semboyan kepada Ketua-Ketua Polis Negeri untuk menangkap Muhammad Riduan.
Ujarnya, nama mualaf itu turut dimasukkan ke dalam senarai untuk mengesan pergerakan keluar masuk lelaki itu namun masih tiada tanda-tanda menunjukkan dia masih berada di negara ini.
Dalam saman yang difailkan pada 28 Oktober 2020, Indira Gandhi mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak mengendahkan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan kerana gagal menyiasat atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anak perempuannya Prasana Diksa.
Pada 2009, Muhammad Riduan secara unilateral telah mengislamkan ketiga-tiga anaknya tanpa kebenaran Indira Gandhi sebelum ke mahkamah syariah untuk mendapatkan hak penjagaan ketiga-tiganya.
Bagaimanapun, pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama unilateral ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.
Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2010 memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama-sama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid menetapkan keputusan pada satu tarikh yang akan dijadualkan kemudian. Tarikh 25 Ogos ini ditetapkan untuk pengurusan kes. – MalaysiaGazette















