Foto yang tular memaparkan sebuah treler terbabas melanggar sebuah kereta di Plaza Tol Perling, Jalan Persisiran Perling, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Tular sebuah treler terbabas lalu melanggar sebuah kereta dan hampir merempuh kaunter Plaza Tol Perling, Jalan Persisiran Perling arah Gelang Patah di sini hari ini.

Beberapa keping Foto kejadian tersebut tular dalam Facebook dan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara turut terkesan dengan perkongsian itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, polis trafik Johor Bahru Utara menerima maklumat kejadian tersebut pukul 5.30 petang.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah treler jenis Volvo FM12 yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun datang dari arah Perling menuju ke Gelang Patah.

“Treler tersebut mengalami kerosakan brek angin lalu terbabas melanggar sebuah kereta jenis Perodua Aruz 1.5X Yan dipandu seorang wanita tempatan berusia 39 tahun di lorong plaza tol berkenaan arah Gelang Patah,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan itu treler mengalami kerosakan keseluruhan pada bahagian hadapan manakala kereta itu rosak bahagian pintu, pelindung lumpur (mudguard) dan bumper sebelah kiri.

Kedua-dua pemandu tidak cedera, kemalangan disiasat bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika mamandu sehingga menyebabkan kemalangan dan boleh dikompaun RM300.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast