Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang meluluskan sebanyak RM141 juta belanjawan tambahan dan ia merupakan antara terendah sejak tahun 2022.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut meliputi tujuh komponen termasuk kenaikan gaji penjawat awam dan pembayaran pencen pesara kerajaan.

“Ini perkara wajib yang memang tidak dapat dielakkan dan kerajaan negeri terpaksa atau perlu membuat pembayaran. Bajet tambahan ini adalah proses biasa yang setiap negeri ataupun kerajaan pasti buat, kadang-kadang ada perkara diluar jangka sebagai contoh pencen dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Ke-2 Penggal Ke-4 DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sementara itu, dalam ucapan penangguhannya, Wan Rosdy menyeru semua pihak agar menolak sekeras-kerasnya permainan persepsi, fitnah dan tohmahan yang sengaja ditiupkan untuk memecah-belahkan rakyat.

Katanya, ia bukan sahaja menghakis kepercayaan malah menyebabkan rakyat tidak bersatu dan menimbulkan permusuhan, menggugat kestabilan negeri serta negara.

“Permainan persepsi ini cukup bahaya kerana ia bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan tetapi juga meniup sentimen agama dan perkauman yang akan menjurus kepada perpecahan perpaduan rakyat yang kita telah pertahankan sejak sekian lama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast