Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penjawat awam pada Perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri Dewan De Seri Endon. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 JANUARI 2025 (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat penting kepada penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) esok.

Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Dr Saharah Sapiyi berkata Perdana Menteri dijangka menyampaikan amanat itu ketika berucap pada acara kemuncak MAPPA XX pada 3.30 petang.

“MAPPA XX kali ini merupakan platform atau wadah untuk Perdana Menteri berjumpa dan menyampaikan amanat kepada penjawat awam.

“Perdana Menteri akan berkongsi aspirasi yang ingin dicapai negara, apa peranan dimainkan penjawat awam dan biasanya dalam majlis ini Perdana Menteri akan mengumumkan perkara utama yang melibatkan perkhidmatan awam.

“Pada MAPPA XX yang lepas Perdana Menteri telah mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pada tahun ini saya dimaklumkan akan ada pengumuman melibatkan perkhidmatan awam serta ada pelancaran Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam yang akan dijadikan panduan semua ketua jabatan dan agensi dalam membangunkan bakat dalam organisasi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV secara panggilan video pada hari ini.

Saharah berkata MAPPA XX Ke-20 yang bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI Teras Kecemerlangan’ itu bukan sekadar platform warga perkhidmatan mendengar aspirasi kepimpinan negara malah sebagai ruang menilai dan menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI.

“Kita juga menekankan komitmen terhadap agenda reformasi perkhidmatan awam yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara, nilai-nilai teras khidmat yang dibawa oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam juga dirangkumkan dalam MAPPA XX bagi tujuan mencapai kecemerlangan perkhidmatan awam,” katanya.

Menurut Shaharah sebelum acara kemuncak MAPPA XX esok, para penjawat awam juga dijemput menghadiri Tazkirah Jumaat bermula 12.45 tengah hari, disusuli solat Jumaat di Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang boleh memuatkan seramai 1,000 orang jemaah.

Saharah berkata turut diadakan sempena MAPPA XX ialah forum Cakna Inspirasi MAPPA XX yang membincangkan topik media sosial dan kemerdekaan pada 2.30 petang.

Sebanyak 43 reruai melibatkan kementerian, agensi dan jabatan kerajaan turut dibuka bermula 9 pagi hingga 5 petang termasuk kaunter pengurangan kompaun dan saman oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta tawaran peluang kemasukan ke institut pengajian tinggi. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast