Enam tandan pisang yang dicuri seorang penganggur selepas menceroboh kebun pisang di Kampung Sungai Besoi, Layang Layang, Kluang malam tadi

KLUANG – Polis menahan seorang penganggur dan merampas 70 kilogram pisang dalam kebun pisang di Kampung Sungai Besoi, Layang Layang, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan kebun pisang tersebut ceroboh pukul 11.20 malam.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Layang Layang membuat tangkapan dan rampasan tersebut pukul 11.50 malam.

“Menerusi Ops Cantas itu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan dan merampas enam tandan pisang berangan, sebuah kereta Perodua Kancil warna putih dan satu kunci tertera Perodua,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, semakan terhadap suspek mendapati tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang 07-7784222, direct line 07-7784256, hotline 07-7766822 dan Tablet DCC 014-3656822. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast