JOHOR BAHRU – Seorang pesara rugi RM467,237 selepas tertarik keuntungan 94 peratus dalam sehari jika melabur dalam pelaburan saham, sebelum sekali lagi ditipu semasa mahu mendapat khidmat guaman untuk mendapatkan wangnya semula.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, warga emas berusia 60 tahun itu pada mulanya melihat satu iklan dalam Facebook semasa di rumahnya di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini pada 17 Jun lalu.
“Iklan tersebut menjanjikan keuntungan 94 peratus dalam tempoh sehari dan pesara kerajaan itu kemudian menghubungi suspek melalui nombor telefon 016-9444365 sebelum dia dimasukkan dalam kumpulan Whatsapp.
“Mangsa kemudian ditunjukkan cara permainan saham. Dia kemudian membuat 20 transaksi bermula 17 hingga 26 Jun lalu melibatkan RM286,337 ke dalam beberapa akaun berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan, suspek memberikan pelbagai alasan dan meminta bayaran tambahan sebelum menyedari ditipu dengan kerugian RM286,337.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan pesara guru kerajaan kemudian mencari khidmat guaman untuk membantu mendapatkan semula wang tersebut.
“Melalui iklan dalam Facebook mangsa menghubungi seorang individu yang mengaku sebagai wakil firma guaman.
“Dia kemudian dimasukkan dalam satu kumpulan Whatsapp 865Th Fund Recovery Team dan diajar cara mendapatkan semula wang tetapi diminta membuat pembayaran bagi urusan guaman ke dalam beberapa akaun berbeza,” katanya.
Raub memberitahu, bermula 4 Julai hingga 2 Ogos lalu mangsa membuat tujuh transaksi berjumlah RM180,900 ke dalam tujuh akaun berbeza.
Mangsa ujarnya, masih terus diminta membuat pembayaran perkhidmatan guaman dan akhirnya menyedari ditipu lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan hari ini.
Jelasnya, semakan mendapati 23 akaun terbabit mempunyai 24 rekod penipuan.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara satu hingga 10 tahun, sebat atau denda jika sabit kesalahan, katanya. – MalaysiaGazette
















