Pemuda Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam Youth Johor Bahru edar 350 Jalur Gemilang kepada orang ramai di Bandaraya Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pemuda Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam Youth Johor Bahru mengambil inisiatif mengedarkan 350 Jalur Gemilang kepada orang ramai di sekitar bandar raya ini hari ini.

Jalur Gemilang tersebut diedarkan sepanjang Jalan Trus dan kawasan berdekatan.

Pengerusinya, Vinodtheran Segaran berkata, program itu diadakan buat pertama kalinya oleh pihak pemuda kuil tersebut sebagai usaha memupuk semangat cintakan negara, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Kami mahu membawa mesej bahawa setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, harus berbangga mengibarkan Jalur Gemilang.

“Program ini juga tercetus rentetan isu tular berhubung bendera baru-baru ini. Justeru, kami mahu menunjukkan bahawa belia India turut menzahirkan kecintaan kepada tanah air,” katanya ketika ditemui.

Lebih 70 pemuda India hadir menyertai program itu dengan penuh semangat.

Mereka berjalan kaki sambil mengedarkan bendera kepada peniaga, pengunjung serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

Orang ramai yang menerima Jalur Gemilang menyambut baik usaha itu, malah ada yang terus mengibarkannya di kenderaan masing-masing.

Beberapa peniaga turut memasang bendera berkenaan di premis sebagai tanda sokongan terhadap semangat kemerdekaan.

Vinodtheran menegaskan pihaknya bercadang menjadikan program itu sebagai acara tahunan bersempena bulan kemerdekaan.

Katanya, itu bukan sekadar aktiviti simbolik, malah satu usaha mengukuhkan perpaduan rakyat melalui penghormatan terhadap Jalur Gemilang.

“Bagi kami, bendera adalah lambang kedaulatan dan maruah negara. Dengan mengibarkannya, kita menyatakan kebanggaan sebagai anak Malaysia,” ujarnya.

Inisiatif tersebut sekali gus mencerminkan komitmen golongan belia untuk terus bersama-sama mengangkat semangat patriotisme demi Malaysia yang lebih bersatu padu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast