JOHOR BAHRU –Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur beberapa kedai makan di bandar raya ini kelmarin dan menahan 37 warga asing atas pelbagai kesalahan.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, dalam Ops Selera dan Ops Sapu itu dilakukan hasil aduan awam mengenai kewujudan warga asing yang bekerja tanpa permit/pas yang sah di kawasan terbabit.
“Dalam operasi ini, seramai 63 warga asing dan warga tempatan telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu 13 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar, lima lelaki Bangladesh, tiga lelaki serta enam wanita Indonesia berusia lingkungan 21 hingga 60 tahun ditahan.
“Dua daripadanya cuba lari namun kita dapat menahannya.Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemilik kepada premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah.
Ini termasuk Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS).
Tambah Mohd Rusdin, seorang warga tempatan ditahan bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.
Mohd Rusdi berkata, enam notis untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa dikeluarkan kepada beberapa individu sepanjang operasi itu bagi membantu siasatan.
JIM ujarnya, akan terus memperkasa penguatukuasaan membanteras warga asing yang melakukan kesalahan bawah akta dan peraturan imigresen.
“JIM juga akan terus memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu-individu yang didapati menggaji serta melindungi PATI (pendatang asing tanpa izin).
“Kita juga meminta kepada PATI yang layak untuk menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) mulai 19 Mei 2025 hingga 30 April 2026 bagi pulang ke negara asal mereka secara sukarela,” katanya.- MalaysiaGazette
















