KLUANG – Seorang lelaki asing ditahan kerana mengutip derma tanpa kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Simpang Renggam di sini semalam.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan, lelaki warga Thailand berusia 32 tahun itu di tahan dihadapan sebuah pasar raya pukul 10.30 pagi.
“Pihak JAINJ menahan lelaki warga asing yang lengkap berpakaian jubah dan kopiah putih itu selepas menerima aduan orang ramai kehadirannya di kawasan tersebut.
“Ketika pihak penguat kuasa JAINJ memperkenalkan diri, lelaki ini cuba melarikan diri tetapi berjaya dikejar dan ditangkap.
“Hasil soal siasat keatas lelaki itu berkata, tujuan kutipan derma ini dikatakan untuk kebajikan sebuah madrasah di Thailand.
“Turut dirampas adalah tabung derma, dokumen berkenaan madrasah dan wang tunai sejumlah RM61,” menurut kenyataan tersebut.
Katanya lagi, siasatan mendapati duit kutipan ini digunakan untuk diri sendiri dan bukan untuk tujuan kebajikan Islam seperti yang dipromosikan.
Bukti itu diperoleh selepas semakan terhadap alamat madrasah berkenaan manakala nombor telefon tiada dalam perkhidmatan.
MAINJ menegaskan, sehingga kini tiada memberi sebarang kebenaran kepada mana-mana negara luar untuk membuat kutipan derma di negeri ini.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberi sumbangan kepada pengutip derma tanpa kebenaran ini kerana hampir kesemuanya penipu selain boleh meminta surat kebenaran sebelum bermurah hati mengeluarkan duit derma.
“Untuk kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 106 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan dikenakan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.- MalaysiaGazette
















