KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa melaksanakan langkah tegas bagi mengawal pengimportan dan membanteras aktiviti penyeludupan daging khinzir dari luar negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tanggungjawab itu diambil menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Katanya, langkah kawalan itu dilaksanakan lebih ketat terhadap negara yang dikenal pasti mengalami penularan penyakit berbahaya seperti Streptococcus Suis dan African Swine Fever (ASF).
“MAQIS melaksanakan kawalan melalui pemeriksaan dokumen, termasuk keperluan permit import dan sijil kesihatan veterinar serta pemeriksaan fizikal kontena di pintu masuk sempadan negara.
“Persampelan turut dijalankan bagi memastikan produk yang dibawa masuk bebas daripada sebarang penyakit,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang meminta kementerian menyatakan tindakan penguatkuasaan MAQIS ke atas pengimportan dan penyeludupan haram daging khinzir dari luar negara terutamanya dari Thailand dan negara lain yang mempunyai wabak ASF serta tangkapan yang telah dibuat ke atas aktiviti penyeludupan haram daging khinzir di semua pintu masuk Malaysia pada tahun ini
Menurut Arthur, bagi membendung aktiviti penyeludupan yang berlaku di luar pintu masuk negara, DVS memainkan peranan melalui kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ujarnya, dalam tempoh tahun 2024 hingga Julai 2025, MAQIS telah merekodkan sebanyak 24 kes cubaan penyeludupan haram daging khinzir melibatkan rampasan sejumlah 640 tan metrik produk berkenaan.
Sementara itu Arthur menegaskan, DVS berjaya melaksanakan 18 kes rampasan berkaitan pemindahan karkas babi tanpa kebenaran serta rampasan di premis jualan dan simpanan karkas babi sejuk beku yang disyaki diimport secara haram di tujuh negeri.
“Rampasan itu melibatkan Kelantan, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 114 tan metrik karkas bernilai anggaran RM3.05 juta,” jelasnya.
Katanya lagi, sebarang kemasukan daging khinzir secara tidak sah akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) termasuk denda tinggi dan tindakan mahkamah terhadap pihak yang didapati bersalah.
Tambahnya, DVS juga diberi kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Binatang 1953 (Akta 647) berkaitan isu pemindahan dan penyimpanan daging tanpa kebenaran.
“Kerajaan akan terus memperkukuh penguatkuasaan, meningkatkan kerjasama dengan negara jiran, serta menjalankan program kesedaran kepada masyarakat bagi membanteras risiko kemasukan daging haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan industri penternakan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
















