KUALA LUMPUR – Kecuaian manusia menjadi punca utama kemalangan jalan raya di negara ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, berdasarkan dapatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak 80.6 peratus kemalangan berlaku disebabkan faktor manusia.
“Ini diikuti oleh keadaan jalan sebanyak 13.2 peratus dan keadaan kenderaan sebanyak 6.2 peratus,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Ahmad, meskipun pelbagai usaha teknikal dilakukan bagi memastikan keadaan jalan lebih baik, aspek sikap dan tahap berhati-hati pemandu harus menjadi keutamaan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang meminta penjelasan berhubung faktor utama kemalangan jalan raya di negara ini.
Dalam perkembangan lain Ahmad berkata, kajian terperinci perlu dilakukan sebelum kerajaan menggantikan penghadang jalan sedia ada daripada keluli atau konkrit dengan alternatif seperti roller barrier.
“Fungsi, kesesuaian lokasi serta kos perlu diteliti sebelum sebarang kerja penggantian dilaksanakan secara berfasa.
“Pada masa sama, pengguna jalan raya perlu mematuhi had laju. Jika mereka memandu melebihi had laju, impak pelanggaran boleh menjadi lebih besar daripada tahap serapan impak yang boleh ditampung oleh penghadang berkenaan, sekali gus mengurangkan keberkesanannya.
“Penghadang jalan hanya boleh berfungsi dengan berkesan jika had laju dipatuhi,” jelas beliau.
Ahmad menjawab soalan tambahan P. Prabakaran (PH-Batu) berhubung cadangan menggantikan penghadang keluli kepada penghadang plastik fleksibel, getah atau konkrit bertetulang di kawasan berisiko tinggi.
Sementara itu Ahmad memaklumkan, kerja-kerja penambahbaikan telahpun dilaksanakan di 194 lokasi titik panas (blackspot) di sepanjang jalan persekutuan di seluruh negara dari tahun 2022 hingga 2024.
Katanya, jumlah peruntukan bagi tujuan itu adalah sebanyak RM67.86 juta, melibatkan kerja-kerja seperti menanda jalan, pemasangan lampu jalan serta papan tanda yang bersesuaian. – MalaysiaGazette
















