MELAKA – Lebih 20 pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Sungai Udang didakwa menjadi mangsa buli pelajar senior asrama pada jam 3 pagi Sabtu lalu sehingga ada yang mengalami bengkak dan melecet pada kaki.
Menurut sumber, kejadian didakwa berpunca apabila kesemua pelajar terbabit lewat pulang ke asrama minggu lalu.
Ia menyebabkan pelajar senior berkenaan membuat pengumuman di surau sebelum waktu Magrib Jumaat lalu untuk berjumpa mereka pada jam 3 pagi keesokan harinya.
Sumber berkata, pengadu berusia 15 tahun mendakwa, seramai lebih 20 pelajar kemudian berkumpul di koridor tingkat tiga asrama perempuan sebelum ketua aspuri memanggilnya bersama seorang lagi pelajar dan mengarahkan mereka berjalan itik selama 30 minit.
“Selain itu dakwa mangsa, ada beberapa lagi pelajar disuruh melakukan ketuk ketampi dan mereka yang datang lewat akan ditambah hukuman.
“Akibatnya, dua pelajar berkenaan mengalami bengkak dan melecet di kaki malah seorang daripadanya memaklumkan dia kerap dibuli ketua pelajar terbabit,” katanya.
Sumber menambah, mangsa sebelum ini tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana takut akan menjadi sasaran buli seniornya itu di asrama.
Mangsa bagaimanapun membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Udang pada jam 1 pagi tadi selepas bimbang tentang keselamatan dirinya. – MalaysiaGazette
















