Sesi bergambar bersama guru penyelaras Kem, pensyarah Universiti Malaysia Sabah dan fasilitator.

 

KOTA KINABALU – Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi kepakaran pensyarah dan pelajar Teaching English as a Second Language (TESL) dalam Kem Sanggar Bahasa Generasi Madani Peringkat Daerah Tuaran 2025.

Kem yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Gayang Tuaran ini telah berlangsung di Dewan Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, baru-baru ini, disertai 50 murid sekolah rendah dari pelbagai sekolah kebangsaan di bawah PPD Tuaran.

Pasukan fasilitator UMS yang diketuai oleh Dr. Wirawati Ngui bersama tujuh pensyarah dan 10 pelajar TESL UMS memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Menurut Wirawati, matlamat utama program adalah untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah rendah menerusi pendekatan pembelajaran yang bersifat interaktif dan lebih menyeronokkan.

“Program ini turut menampilkan sesi-sesi yang memfokuskan kepada kemahiran komunikasi, lakonan drama, dan persembahan lisan secara kolaboratif, bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif serta membina keyakinan diri dalam kalangan peserta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid PPD Tuaran, Mohd Hanim Mohammad Goss menyatakan Kem Sanggar Bahasa
Generasi Madani ini berjaya menyediakan platform pembelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang menyeronokkan.

Tambahnya, program ini juga berjaya melahirkan murid dengan tahap keyakinan yang tinggi, berani dan lebih berketerampilan.

“Kerjasama erat antara penganjur, fasilitator dan peserta telah memastikan kelancaran program serta pencapaian objektif yang ditetapkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast