Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR – Seramai 386 pegawai perubatan telah meletakkan jawatan daripada Kementerian Kesihatan pada tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, 12 orang atau 3.1 peratus daripada 386 telah berhijrah ke luar negara, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pegawai perubatan daripada mencari pekerjaan di sektor swasta atau di luar negara, dan juga tidak boleh menghalang pengambilan oleh pihak swasta atau syarikat pencari bakat yang berdaftar,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, penghijrahan profesional kesihatan ke luar negara bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya turut berlaku di negara maju yang lain.

“Sebab utama adalah kerana gaji yang lebih kompetitif, dipengaruhi oleh kadar pertukaran mata wang. Apabila ditukar kepada ringgit, jumlahnya jauh lebih tinggi terutama di negara maju atau berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Bagaimanaun, beliau berkata, kementerian sedang mengambil pelbagai inisiatif bagi mengurangkan penghijrahan dan mengekalkan bakat.

Antaranya termasuk meningkatkan jumlah jawatan tetap bagi pegawai di bawah sistem kontrak, dengan 13,552 tawaran diberikan sejak 2023.

Secara purata, katanya, lebih 4,000 pegawai perubatan diberikan lantikan tetap setiap tahun.

Beliau berkata, gaji permulaan yang kompetitif sebanyak RM5,380 juga ditawarkan kepada pegawai perubatan Gred UD9.

“Ini adalah yang tertinggi berbanding skim perkhidmatan awam yang lain. Kenaikan tahunan boleh mencecah sehingga RM225,” tambahnya.

Beliau turut menambah, insentif khas dan elaun turut diberikan kepada pegawai perubatan.

Sokongan kesihatan mental dan psikososial juga disediakan untuk pegawai perubatan, katanya.

“Usaha untuk mengekalkan pegawai perubatan dalam sektor awam bukanlah tanggungjawab Kementerian Kesihatan semata-mata, sebaliknya ia adalah isu kompleks yang memerlukan usaha dan penyelesaian jangka panjang daripada pelbagai pihak dan agensi.

“Kami akan terus menjalankan sesi libat urus dengan agensi-agensi persekutuan bagi menambah baik insentif dan faedah untuk pegawai perubatan sebagai usaha memastikan mereka terus berkhidmat dengan kementerian,” katanya.

Dr Dzulkefly menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN–Permatang Pauh) yang bertanya tentang usaha kementerian menangani penghijrahan doktor muda ke luar negara disebabkan tekanan kerja dan sistem kontrak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast