Steven Sim merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Hospital Bukit Mertajam atas pencapaian berprestij itu.

BUKIT MERTAJAM – Hospital Bukit Mertajam (HBM) membuktikan kemampuan Malaysia menjadi peneraju apabila muncul satu-satunya hospital yang disenaraikan dalam kelompok 250 hospital paling hijau di dunia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, pengiktirafan menerusi penarafan World’s Greenest Hospitals 2026 oleh Newsweek dan Statista itu turut mengangkat nama Bukit Mertajam dan Malaysia ke pentas dunia.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh warga HBM atas kejayaan membanggakan ini.

“Pencapaian ini amat bermakna kerana HBM merupakan satu-satunya hospital dari Malaysia yang tersenarai dalam kelompok berprestij tersebut.

“Kejayaan itu hasil usaha berterusan dan komitmen warga HBM yang diketuai Dr S. Prashant dalam membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Steven, kejayaan peringkat dunia itu menyusuli pengiktirafan HBM di peringkat Asia pada 2025 apabila memenangi Gold Award bagi kategori Most Sustainable Hospital 2025.

Penyertaan HBM ketika itu bertajuk Pioneering 135 Years of Eco-Friendly Healthcare: HBM’s Journey Towards Becoming a Sustainable Hospital dan membabitkan 399 penyertaan daripada 140 hospital di 14 negara Asia dalam 10 kategori.

“Daripada pengiktirafan di peringkat Asia pada tahun 2025 kini HBM melangkah lebih jauh dengan menerima pengiktirafan di peringkat dunia pada tahun 2026.

“Ini membuktikan usaha berterusan dalam aspek kelestarian, kecekapan dan penjagaan kesihatan mesra alam telah membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya.

Memgulas lanjut, Steven sebagai Ahli Parlimen Bukit Mertajam percaya hospital berkenaan perlu diberikan sokongan dan sumber sewajarnya untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, sejak 2023, pejabatnya berusaha mendapatkan sumber kerajaan untuk pembangunan HBM termasuk RM200,000 bagi projek naik taraf tandas awam pada 2023, RM50,000 bagi Klinik Mata pada 2024 dan RM5 juta bagi kemudahan imbasan CT pada 2025 menerusi peruntukan Kementerian Kewangan.

“Setiap peruntukan ini telah membolehkan para doktor, jururawat dan seluruh warga HBM memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat Bukit Mertajam.

“Saya bersama Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi turut bekerjasama dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagi menaik taraf HBM.

“Justeru sekali lagi saya merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga HBM termasuk semua petugas kesihatan dan pihak yang terlibat dalam menjayakan agenda kelestarian hospital berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here