KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menaikkan kadar elaun petugas Flying Doctor Service (FDS) yang ketika ini hanya RM30 yang disifatkan tidak lagi munasabah berbanding risiko serta cabaran yang dihadapi mereka ketika memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman.
Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low berkata, tragedi nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak pada Selasa lalu perlu menjadi titik perubahan dalam usaha kerajaan mengiktiraf pengorbanan petugas FDS, termasuk dari aspek kebajikan, keselamatan dan peruntukan operasi.
“Nyawa yang dikorbankan demi menyelamatkan nyawa orang lain tidak seharusnya menjadi kos yang dianggap remeh dalam mana-mana perbelanjaan negara. Sokongan yang setimpal kepada petugas FDS adalah pelaburan untuk memastikan masyarakat pedalaman terus menerima perkhidmatan yang mereka layak dapat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, Kementerian Kewangan perlu mengambil kira perkara itu dalam penyediaan Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Oktober ini, termasuk dengan menyemak semula peruntukan FDS bagi memastikan aspek keselamatan, penyelenggaraan aset dan kebajikan petugas mendapat perhatian sewajarnya.
Katanya, jasa dan pengorbanan warga FDS amat besar kerana mereka memastikan masyarakat di kawasan pedalaman yang jauh daripada kemudahan kesihatan tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan perubatan.
Dalam pada itu, Ivone menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula keberkesanan kos kontrak penyediaan perkhidmatan helikopter FDS bernilai RM68 juta bagi tempoh empat tahun, bersamaan RM17 juta setahun.
Beliau berkata, walaupun helikopter jenis MBB Bo 105 yang digunakan FDS pada asasnya merupakan platform yang berkemampuan, KKM wajar menilai pilihan platform udara yang lebih moden dan bersesuaian dengan keperluan operasi perubatan udara masa kini.
“KKM perlu turut menilai platform udara yang lebih moden dan sesuai untuk operasi perubatan udara masa kini, sejajar dengan dapatan siasatan yang bakal diperoleh,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa siasatan nahas Long Lellang dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi sebelum kerajaan menentukan langkah penambahbaikan.
Selasa lalu, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, mengorbankan empat petugas kesihatan dan seorang juruterbang.
Ketika kejadian, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS. – MalaysiaGazette
















