SHAH ALAM – Kejayaan polis menumpaskan beberapa makmal dadah di Kuala Selangor sebelum ini bukan alasan kukuh untuk mewujudkan sebuah balai polis baharu di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, cadangan pembukaan balai polis baharu perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepadatan penduduk, kepesatan ekonomi dan situasi jenayah semasa.
Katanya, penempatan sumber manusia juga perlu dipertimbangkan supaya tidak berlaku pembaziran tenaga anggota.
“Untuk mewujudkan balai polis baharu, beberapa faktor perlu diambil kira. Contohnya kepadatan penduduk, kepesatan ekonomi dan juga keadaan jenayah semasa.
“Hanya kalau merujuk kepada tertumpasnya makmal-makmal dadah, itu belum menjadi salah satu faktor yang cukup kuat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi dan rondaan polis akan terus dipertingkatkan berdasarkan maklumat diterima daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah.
“Polis akan menilai semula keperluan rondaan berdasarkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan dadah di kawasan berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, keluasan Kuala Selangor semata-mata tidak mencukupi untuk menjadi justifikasi pembinaan balai baharu jika kepadatan penduduk di sesuatu kawasan tidak tinggi.
“Kalau buat balai polis, penduduk pun tak ramai. Itu akan merugikan manpower,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















