KUALA LUMPUR – Semua operasi perkhidmatan Flying Doctor Service (FDS) di Sarawak ditangguhkan sementara susulan insiden kemalangan helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak Selasa lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penangguhan dibuat bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
Bagaimanapun perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pada masa sama, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, KKM turut akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak.
Menurutnya, penilaian meliputi aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.
“Penilaian ini bertujuan untuk memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.
Katanya lagi, KKM juga sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS termasuk penggunaan alternatif pengangkutan serta pendekatan lain yang lebih selamat dan praktikal.
Langkah tersebut penting bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan walaupun operasi FDS ditangguhkan sementara.
“KKM memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.
KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya.
Selasa lalu, helikopter BO-105 yang membawa lima orang, termasuk juruterbangnya, terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, Sarawak.
Helikopter itu sedang mengendalikan penerbangan perkhidmatan FDS ke pedalaman Sarawak.
Semalam, Dzulkefly menerusi sidang media berkata KKM akan meneruskan perkhidmatan FDS bagi memastikan liputan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman sebelum mengubah keputusan hari ini.
Media melaporkan lima mangsa dikenal pasti sebagai Kapten Zainol Afiq Bee Sham; pegawai perubatan Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat Debra Moser dan Jessie Paya.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.-MalaysiaGazette
















