BALIK PULAU – Kehadiran bekas anggota tentera sebagai warden di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau membawa satu dimensi baharu apabila pelajar sendiri menyambut baik langkah itu dengan penuh keterujaan.
Rata-rata mereka menyifatkan pengawasan warden beruniform bukan sekadar menambah rasa selamat malah memberi keyakinan kehidupan di asrama akan lebih terurus serta terlindung daripada gejala tidak sihat khususnya kes buli.
Selain itu, bagi mereka, inisiatif Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki itu dilihat tepat pada masa bagi memastikan pelajar dapat belajar dalam persekitaran kondusif tanpa dibayangi kebimbangan soal keselamatan.

Pelajar Tingkatan Satu, Zara Aesya Hamra Mohd Rozalmi, 13, dari Sepang, Selangor mengakui dirinya begitu teruja kerana akhirnya merasai suasana asrama yang sebenar.
“Bila tahu ada warden tentera, saya memang excited. Baru betul rasa vibes asrama sebab kalau dulu kami harap senior untuk tegur kalau ada yang ketinggalan, sekarang ada warden yang boleh jadi tempat bergantung jika berlaku apa-apa,” katanya.
Perasaan sama dikongsi pelajar baharu, Nur Dhia Zafirah Md Zhafriadli, 13, dari Bayan Lepas di sini yang melihat langkah itu sebagai dorongan untuk menjadi lebih berdisiplin.

“Sejak masuk asrama, semuanya berjalan baik. Dengan adanya warden tentera, saya rasa kami akan jadi lebih teratur. Saya tak sabar nak lihat cara mereka menjaga kami nanti,” katanya dengan nada ceria.
Bagi pelajar Tingkatan Tiga, Aidil Asrizal, 15, dari Ampang, Selangor, aura warden tentera cukup berbeza dan membuatkan mereka lebih berhati-hati.

“Memang lain bila dengar warden tentera yang akan jaga. Terus rasa agak takut nak langgar peraturan walaupun benda kecil macam bawa telefon.
“Tapi dalam masa sama, saya rasa lebih selamat sebab tahu ada orang mengawasi setiap masa terutama waktu malam,” katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Firman Thaqif Muhammad Takradi, 17, dari Raub, Pahang menegaskan, kehadiran warden tentera bukan sahaja menjaga disiplin malah memastikan pelajar junior terlindung daripada sebarang gejala tidak sihat.

“Sebagai senior, kami dah biasa dengan peraturan asrama tambahan pula, cikgu-cikgu di sini pun tegas juga.
“Tapi apa yang penting sekarang, warden tentera boleh jaga adik-adik sebab saya percaya kalau ada pemantauan setiap malam, insyaAllah tak ada lagi ruang untuk kes buli sekaligus semua rasa selamat selain ibu bapa juga lega,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Warden askar mula tugas, MRSM Balik Pulau jadi perintis bendung buli
MalaysiaGazette semalam melaporkan, pelantikan bekas anggota polis dan tentera sebagai warden sepenuh masa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau diyakini mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka di asrama, sekali gus menangani kebimbangan terhadap isu buli.
Pengetuanya, Ibrahim Abdullah berkata, langkah tersebut menjadi nilai tambah penting kepada pengurusan sekolah berasrama penuh kerana ibu bapa kini lebih tenang apabila mengetahui anak-anak mereka dipantau secara rapi sepanjang masa.
Bagaimanapun warden luar berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman atau menggunakan pendekatan ketenteraan, sebaliknya semua isu yang berbangkit perlu dirujuk kepada pihak pentadbiran MRSM. – MalaysiaGazette
















