KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan ditawarkan tempat di universiti awam.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Ayer Itam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Dr Zambry, kes tersebut melibatkan seorang pelajar cemerlang aliran sains yang permohonannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan telah ditolak disebabkan kekangan fizikal.
“Saya dimaklumkan oleh Yang Berhormat (Dr Wee) mengenai pelajar ini yang diiktiraf sebagai OKU. Penilaian pihak universiti telah menolaknya walaupun beliau memperoleh keputusan semua A.
“Beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Parlimen, hari ini.
Jelas beliau, penolakan tersebut berlaku berikutan kekurangan kemudahan yang sesuai di institusi pengajian terlibat, namun alasan itu tidak boleh diterima.
“Kita tidak boleh lagi menerima alasan seperti ‘kami tiada kemudahan’. Kita mesti mengubah dasar universiti agar lebih inklusif kepada pelajar OKU.
“Oleh itu, saya ingin memaklumkan kepada Yang Berhormat bahawa pelajar ini, yang memperoleh semua A, insya-Allah akan ditawarkan tempat,” tegasnya.
Terdahulu, Dr Wee membangkitkan isu melibatkan pelajar bernama Lim Chin Hong, yang kehilangan kaki kanan akibat masalah kesihatan namun tetap menunjukkan kecemerlangan akademik dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam STPM 2024. – MalaysiaGazette
















