PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan sentiasa bersedia memperbaiki setiap kelemahan dalam pelaksanaan dasar bagi memastikan kepentingan rakyat terus terjamin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan itu turut merangkumi pelaksanaan belanjawan tahunan negara yang perlu disemak secara berterusan dengan mengambilkira pandangan semua pihak.
“Apa pun kelemahan kita baiki. Dalam belanjawan kita dengan semua pandangan dan dalam belanjawan kita akan ubah suai dan perbaiki, tidak semestinya apa yang kita lakukan itu semua sudah sempurna ada kelemahan sebab itulah dialog itu harus diteruskan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan sempena Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Kementerian Kewangan hari ini.
Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Menurut Anwar, proses penambahbaikan dasar merupakan sebahagian daripada prinsip tadbir urus Kerajaan Perpaduan yang menekankan keterangkuman dan ketelusan.
Beliau menambah, kerajaan tidak mahu mana-mana golongan dalam masyarakat berasa terpinggir atau dinafikan hak mereka.
“Kalau nak selamatkan negara ini kita kena jamin keadilan bagi yang majoriti dan minoriti, kita tidak mahu tyranny of the majority dan kita juga tidak mahu tyranny of the minority. Jadi pendekatan kita harus lebih adil,” ujarnya.
Anwar menjelaskan, keadilan sosial menjadi teras dalam memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dinikmati secara seimbang oleh semua kaum dan lapisan masyarakat.
“Kalau orang tanya saya, kenapa beri tumpuan dalam masyarakat India, kerana saya kata, walaupun jumlah mereka kecil, kita jangan ikut sesetengah negara di mana minoriti terus terpelanting. Kita tidak mahu begitu.
“Ada juga pembangkang membangkitkan, bagaimana satu agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Jenayah, itu pun 90 peratus Melayu, ketuanya India. Bagi saya bukan masalah, siapa yang rasa ada peranan, mampu kendalikan dengan baik, kita tonjolkan,” katanya.
Katanya, Malaysia hanya dapat dibangunkan dengan kukuh sekiranya rakyat percaya bahawa kerajaan mengamalkan keadilan tanpa mengira latar belakang politik, kaum atau agama.
Beliau menegaskan, dialog yang berterusan bersama rakyat adalah mekanisme terbaik untuk menilai pencapaian dasar serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette
















