Tangkap layar menunjukkan seorang penunggang dirempuh sebuah kereta Mazda yang dipandu secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Jalan Hamilton/Jalan Van Praagh, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal cedera selepas dirempuh sebuah kereta Mazda yang dipandu secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Jalan Hamilton/Jalan Van Praagh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhamad berkata, kejadian berlaku pukul 5.26 petang ketika pemandu kereta berusia 22 tahun itu memotong sebuah kenderaan lain di jalan awam secara berbahaya.

“Tindakan berkenaan menyebabkan kereta terbabit merempuh sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal lelaki tempatan berumur 53 tahun cedera di tangan kanan, kaki kanan dan kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kita mohon saksi awam yang melihat kejadian tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu tular, satu video daripada kamera papan pemuka berdurasi 39 saat yang memaparkan insiden. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast