KUALA LUMPUR – Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga lokasi berbeza iaitu di sebuah taman hiburan, kilang perindustrian dan pasar raya di Selangor pada 18 dan 19 Ogos lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakarian Shaaban berkata, pihaknya melakukan operasi pertama di sebuah taman hiburan yang menggajikan warga asing tanpa pas sah berdekatan Bandar Sungai Long, Kajang pukul 1.50 petang pada Isnin lalu.
Bertindak atas aduan dan risikan selama dua minggu di kawasan tarikan pelancong itu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan telah memeriksa seramai 123 individu terdiri daripada 52 warganegara asing dan 71 warga tempatan.
Hasil pemeriksaan, 46 warga asing telah ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, (2) lelaki warga Indonesia, (3) lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailang yang kesemuanya berusia 23 hingga 47 tahun, katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua PATI telah dibawa ke Depot Tahanan imgresen Millenium Beranang untuk siasatan serta tindakan lanjut dan turut dikeluarkan sebanyak empat Borang 29 (Saman kepada Saksi).
Seterusnya Zakaria memaklumkan, serbuan dilakukan di sebuah kilang perindustrian di Balakong dan pasar raya di Puchong pada keesokannya sekitar pukul 11.45 pagi susulan aduan awam berhubung majikan menggaji warga asing di lokasi itu tanpa dokumen yang sah.
Dalam operasi ini, 64 individu telah diperiksa dan 48 PATI telah ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Nepal, India dan Pakistan berusia di antara 18 hingga 49 tahun.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tujuan siasatan serta tindakan lanjut. Semasa serbuan terdapat PATI yang cuba melarikan diri dan bersembunyi namun berjaya digagalkan oleh pegawai serbuan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, kesemua warga asing itu ditahan dibawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warganegara asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















