KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh hubungan dengan universiti terkemuka dunia Islam menerusi kunjungan delegasi yang diketuai Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin ke dua buah universiti di Mekah, baru-baru ini.
Delegasi itu turut disertai Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani serta 34 yang lain terdiri daripada pensyarah, pegawai dan pelajar yang mewakili pelbagai fakulti dari seluruh UiTM cawangan di Malaysia.
Selain mengunjungi Universiti Umm Al-Qura (UQU), delegasi berkenaan turut mengadakan kunjungan ke Universiti Islam Madinah al-Munawwarah sebagai sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan universiti.
Dalam masa sama, delegasi berkenaan turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Wadi Makkah, Pusat Inovasi dan Keusahawanan UQU, Syeikh Abdullah Bawazir yang berperanan penting dalam menghubungkan akademia dengan industri.

Pertemuan itu memberi fokus kepada usaha memperkasa penguasaan bahasa Arab dalam kalangan warga UiTM, selain membuka ruang kepada penerokaan inovasi berasaskan teknologi.
Sementara itu, Shahrin berkata, UiTM berhasrat menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan UQU.
Menurutnya, langkah itu bakal membuka ruang kerjasama dalam penyelidikan bersama, pertukaran pelajar dan pensyarah, penganjuran seminar, persidangan antarabangsa serta pembangunan kurikulum bersama.
“Ia juga merupakan manifestasi komitmen UiTM dalam mencapai aspirasi UiTM 2025: Globally Renowned, Locally Rooted,” katanya seperti yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan hari ini.
Sementara itu, Shahrin turut mencadangkan agar penglibatan kampus cawangan UiTM diperkasa bagi memastikan manfaat dapat dikongsi secara menyeluruh di seluruh negara.
“UiTM mempunyai jaringan kampus yang luas di seluruh Malaysia.
Dengan adanya kerjasama strategik ini, seluruh fakulti di pelbagai cawangan akan mendapat peluang untuk terlibat dalam penyelidikan bersama, program mobiliti dan pengembangan kurikulum yang mampu memperkasa pelajar serta pensyarah.
Ia bukan sahaja mengangkat imej UiTM di peringkat global, tetapi juga mengukuhkan jati diri universiti sebagai institusi yang tetap berpaksikan akar budaya tempatan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Afandi berkata, kunjungan ke universiti Islam di Mekah tersebut merupakan peluang besar untuk UiTM Cawangan Kelantan memperkasa pelajar, pensyarah dan program akademik agar lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Dengan kerjasama yang dijalin bersama institusi unggul seperti UQU, kita bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan warga UiTM, malah dapat membuka ruang luas dalam penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat pelajar.
“Ini adalah langkah besar yang akan memberi impak berpanjangan kepada kecemerlangan UiTM Cawangan Kelantan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















