KUANTAN – Polis mengesan seorang lelaki yang melarikan tiga buah telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kedai menjual telefon bimbit tingkat bawah sebuah pasar raya di bandar ini pada jam 8.45 malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, pihaknya menerima laporan dibuat jurujual kedai berkenaan selepas cubaannya mengejar suspek gagal.
“Dalam kejadian tersebut, lelaki dipercayai warganegara asing telah berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan tiga unit telefon bimbit jenama Iphone yang dipamerkan kepada suspek.
“Suspek yang memakai jaket berwarna maroon dan pelitup muka telah melarikan diri bersama telefon bimbit berkenaan yang dianggarkan bernikai RM8,000,” katanya dalam kenyataan.
Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau mana-mana balai polis terdekat.
Terdahulu dua klip video rakaman kamera litar tertutup berdurasi 49 saat dan 48 saat milik premis tersebut tular di media sosial memaparkan kejadian terbabit. – MalaysiaGazette
















