KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi menempelak Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Lawyers for Liberty (LFL) yang didakwa ‘bisu’ apabila timbul isu kesalahan rasuah boleh dikompaun.
Dakwa beliau, tiada satu pun kenyataan dikeluarkan oleh kedua-dua pihak berkenaan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad daripada 12 pertuduhan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
“Kita tanya SPRM, bolehkah jenayah rasuah dikompaun? Tetapi hingga ke hari ini tidak dijawab. Maka di mana ketelusannya?
“Kita amat maklum kesalahan AMLA boleh dikompaun. Tetapi apakah kesalahan rasuah boleh dikompaun? Mana MUDA dan LFL?” sindirnya dalam hantaran di Facebook.
Rabu lalu, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Adam Radlan daripada 12 pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram berkait projek Jana Wibawa yang dihadapinya selepas beliau membayar kompaun RM4.1 juta mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju untuk menawarkan kompaun itu kepada Adam Radlan berdasarkan representasi yang dikemukakan tertuduh.
Dalam pada itu, Puad berkata, semua pihak sedia maklum kesalahan di bawah AMLA boleh dikompaun, namun persoalannya sama ada perkara sama boleh digunakan untuk kesalahan rasuah.
Jelasnya, lima daripada pertuduhan itu adalah kes rasuah termasuk meminta komisen antara 3.5 hingga 7 peratus daripada MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, menerima RM500,000 bagi projek jalan Sungai Adam–Kampung Banat, Perlis bernilai RM47.8 juta, serta tiga lagi tuduhan melibatkan RM4.1 juta.
“Semua lima kes rasuah itu dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum hingga 20 tahun mengikut Seksyen 24(1). Tetapi kenapa MUDA dan LFL tidak minat dengan kes ini?” soalnya.
Menurut Puad, sikap berdiam diri itu menimbulkan tanda tanya tentang konsistensi MUDA dan LFL dalam memperjuangkan isu ketelusan serta integriti. – MalaysiaGazette
















