Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hadir bagi mengedarkan jalur gemilang kepada orang awam pada program “Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025 di Stesen Pasar Seni. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menjual bahan lucah di media sosial kerana ia satu kesalahan dan boleh ditangkap di bawah pindaan terkini Akta Komunikasi dan Multimedia.

Menurut beliau, pihak berkuasa kini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan penjualan atau pengedaran bahan lucah secara dalam talian.

“Oleh itu, kepada mana-mana pihak yang cuba melakukan perbuatan seperti ini, saya beri amaran keras kerana tindakan boleh diambil,” katanya mengulas mengenai tindakan individu dikenali sebagai Hot Daddy atau Daddy Ash yang didakwa merancang menjual video lucah menerusi aplikasi Telegram.

Beliau menegaskan, selain Akta Komunikasi dan Multimedia, aktiviti penjualan, pengedaran, pameran secara terbuka, dan penyebaran bahan lucah juga merupakan kesalahan boleh ditangkap di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Fahmi telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk bekerjasama rapat dengan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan individu terlibat.

“Bagi tindakan penguatkuasaan, kita serahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, festival “My Malaysia With Gaza” yang sejak semalam hingga esok  bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.

Menurut beliau, program itu dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberi kuasa oleh Wisma Putra untuk menjalankan aktiviti kutipan dana bagi Gaza.

“Mapim telah memaklumkan kepada kami bahawa semua acara yang berkaitan dengan perhimpunan itu adalah untuk tujuan mengumpul dana bagi disalurkan ke Gaza.

“Justeru, saya percaya hasil jualan makanan di acara itu juga akan disalurkan ke Gaza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast