Nasrun Nasaruddin

KUALA LUMPUR – Datuk Lokman Noor Adam didakwa membuat tuduhan liar, tidak berasas dan berniat jahat apabila menuduh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai “Ketua Pemuda H20” dan mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai perdana menteri.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin berkata, ini bukan kali pertama Lokman menabur fitnah dan menyerang Akmal.

Tindakan Lokman ini jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, hanya tahu menyerang sesama ahli tanpa memikirkan kesan buruk terhadap maruah dan imej parti.

“Perangai sebegini tidak lebih daripada menjadi liabiliti kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasrun yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wangsa Maju berkata, Akmal sedang bekerja keras di lapangan untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO, malangnya ada segelintir ahli parti sendiri yang lebih gemar menabur fitnah dan mencetuskan perpecahan demi agenda peribadi.

Jelasnya, kehadiran Exco-exco, ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian dan pemuda UMNO dari seluruh negara ke himpunan di Kepala Batas dan Mahkamah Bukit Mertajam semalam membuktikan bahawa Akmal tidak bersendirian.

“Kami sentiasa berada bersama beliau dalam apa jua tindakan untuk mengukuhkan parti keramat ini,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO Wangsa Maju menuntut agar Lokman mengemukakan bukti konkrit terhadap tuduhan liar yang dilemparkan.

Sekiranya gagal, Pemuda UMNO Wangsa Maju mendesak beliau segera membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Akmal.

Tegasnya, UMNO tidak ada ruang untuk pengkhianat dalam selimut.

“Jika benar beliau sayangkan parti, hentikan politik fitnah dan hentikan kerja-kerja menikam sesama ahli. Cukuplah UMNO menjadi lemah akibat perbuatan ahli yang lebih gemar mencetuskan perbalahan daripada mengukuhkan saf perjuangan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast