ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membayar ganti rugi RM600,000 kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas kalah dalam saman fitnah berhubung kenyataan isu nadir bumi (REE) dan dana penyelenggaraan jalan negeri (MARRIS).
Hakim, Dr. John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee turut mengarahkan defendan membayar kos sebanyak RM70,000 kepada plaintif.
Mahkamah juga memerintahkan Saifuddin Nasution menerbitkan permohonan maaf dalam media berbahasa Melayu dan Inggeris dalam tempoh 14 hari, dengan teks yang perlu mendapat kelulusan plaintif terlebih dahulu.
Selain itu, perintah injunksi kekal dan satu akujanji untuk tidak mengulangi kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif turut dikenakan ke atas defendan.
Dalam penghakiman, mahkamah mendapati kenyataan yang dibuat defendan pada Julai 2023 ketika kempen Pilihan Raya Negeri Kedah jelas merujuk kepada plaintif serta membawa maksud memfitnah.
“Defendan gagal membuktikan fakta substantif yang boleh mewajarkan kenyataan tersebut. Pembelaan justifikasi dan komen adil juga tidak dapat dipertahankan,” kata hakim.
Sanusi sebelum ini menuntut ganti rugi am RM2.5 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM2 juta.
Bagaimanapun, selepas meneliti amalan lazim kes saman fitnah mahkamah hanya menganugerahkan ganti rugi global RM600,000.
Media pada Ogos 2023 melaporkan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Muhammad Sanusi yang memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos lalu turut mendakwa Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu memfitnahnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Melalui pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata Saifuddin menyampaikan ceramah pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, jam 8.30 malam, pada 15 Julai 2023.
Ia bagi kempen politik Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kedah (PRN) pada 12 Ogos 2023. – MalaysiaGazette

















kenalah saidudin buat siri ceramah untuk edar tin milo dan karung untuuk kutip duit nak bayar saman. belajar dari mastura
haha sabor bey. baru set pertama. Tunggu Rubber set la