KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini yang memihak kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Saifuddin berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah tersebut namun menegaskan terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu.
“Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, beliau percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil bagi dirinya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.
ARTIKEL BERKAITAN
“Saya ingin menegaskan bahawa segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu kepentingan awam.
“Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi,” ujarnya.
Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini telah memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi berjumlah RM670,000 kepada Muhammad Sanusi selepas kalah dalam saman fitnah.
Ini berhubung kenyataan berkaitan isu nadir bumi (REE) dan dana penyelenggaraan jalan negeri (MARRIS).
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi kekal dan satu akujanji supaya Saifuddin tidak mengulangi kenyataan berbaur fitnah terhadap plaintif.
Dalam penghakiman, mahkamah mendapati kenyataan Saifuddin yang dibuat pada Julai 2023 ketika kempen Pilihan Raya Negeri Kedah jelas merujuk kepada Muhammad Sanusi serta membawa maksud memfitnah.
Sanusi sebelum ini menuntut ganti rugi am RM2.5 juta, ganti rugi teruk RM500,000 dan ganti rugi teladan RM2 juta.
Bagaimanapun, selepas meneliti amalan lazim kes saman fitnah, mahkamah hanya menganugerahkan ganti rugi global RM600,000. – MalaysiaGazette
















