Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin penganjuran Forum Tenaga Perniagaan ASEAN (ASEAN Energy Business Forum – AEBF) 2025 yang berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober depan akan menjadi medan utama menarik pelaburan hijau berimpak tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, forum itu dianjurkan bersempena Kepengerusian Malaysia-ASEAN 2025 dan dijangka memainkan peranan penting dalam agenda integrasi tenaga serantau, pembiayaan lestari serta peralihan tenaga yang adil dan inklusif.

“Selaras dengan tema sektor tenaga ASEAN 2025 iaitu Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity, Kementerian komited menjadikan forum ini sebagai medan perkongsian strategik merentas sempadan bukan sahaja dari sudut dasar dan teknologi, tetapi juga pelaburan dan rantaian nilai serantau,” kata timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Akmal Nasir menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN- Simpang Renggam) yang meminta kerajaan menyatakan strategi Kementerian bagi menjadikan Forum Tenaga ASEAN 2025 sebagai medan utama menarik pelaburan hijau berimpak tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga bersih serantau.

Beliau berkata, AEBF 2025 dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 delegasi daripada pelbagai pemegang taruh industri tenaga ASEAN termasuk rakan dialog dan badan tenaga antarabangsa bagi membincangkan pembangunan sektor tenaga secara menyeluruh.

“Malaysia akan memanfaatkan forum ini untuk mengetengahkan peluang pelaburan dalam tenaga boleh baharu, hidrogen, teknologi rendah karbon, grid pintar serta penyimpanan tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasir memberitahu, forum itu juga platform terbaik bagi mempercepat usaha mewujudkan Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid – APG), meningkatkan daya tahan tenaga, keterjaminan bekalan elektrik serta menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu secara bersepadu di rantau ini.

Katanya, Malaysia sebagai hos berpandangan AEBF dapat menjadi pemangkin utama dalam mengukuhkan daya saing ASEAN sebagai hab tenaga hijau di Asia Tenggara.

“Forum ini juga akan menyediakan landasan kukuh untuk Malaysia memacu agenda peralihan tenaga semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Menurut beliau, usaha ini akan menyokong aspirasi ASEAN untuk menjadi hab bekalan elektrik hijau selain memperkukuh sasaran Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast