Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan dua lelaki masing-masing berumur 37 dan 43 tahun susulan dua ciapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah yang tular di media sosial menerusi platform aplikasi X, melibatkan akaun berbeza.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ciapan pertama dikesan menerusi akaun @chongkahtze yang menyentuh isu kononnya Malaysia bakal diambil alih oleh golongan ekstremis serta akan berlaku revolusi.

Manakala ciapan kedua pula dibuat oleh akaun @ifactoreal yang dipercayai memuat naik komen berbaur ancaman serangan Israel ke atas kediaman rasmi perdana menteri.

“Berikutan laporan polis yang diterima, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman telah membuka kertas siasatan ke atas kedua-dua ciapan tersebut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi kes kedua pula siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, permohonan reman dibuat hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, mahkamah membenarkan agar suspek bagi kes pertama direman selama dua hari bermula hari ini hingga esok manakala, suspek bagi kes kedua pula direman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis.

Kumar turut memberi amaran keras tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast