KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua, Tan Sri Johari Abdul hari ini memaklumkan Dewan Rakyat buat pertama kalinya akan mengadakan sesi penerangan khas menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) pada esok dan Rabu.
Johari berkata, sesi itu akan dimulakan oleh Pengerusi JPKP sebelum diikuti perbahasan oleh empat Ahli Parlimen yang terdiri daripada dua wakil blok kerajaan dan dua pembangkang.
“Pengerusi JPKP akan diberi ruang untuk membuat penerangan mengenai penyata dibentangkan di Dewan Rakyat bagi memberikan pendedahan dan liputan luas kepada rakyat berkenaan fungsi serta peranan jawatankuasa pilihan dalam membincangkan isu-isu semasa.
“Penerangan penyata oleh pengerusi JPKP ini dilaksana melalui peraturan mesyuarat 14(1)(a). Setiap penerangan, Pengerusi diberi masa tujuh minit, empat orang pembahas yang terdiri daripada dua kerajaan dan dua pembangkang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Sejurus itu, Johari turut meminta Menteri dan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada JPKP berkaitan untuk hadir dalam Dewan bagi mendengar penerangan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa.
“Ini bagi menunjukkan kepekaan daripada kementerian terhadap isu-isu yang dibangkitkan ketika penerangan berkenaan. Ini respon daripada Ahli Parlimen juga, apabila Pengerusi memberikan penerangan mengenai satu laporan yang sudah disiapkan oleh jawatankuasa supaya kerajaan dapat respon yang yang dibentangkan,” katanya.
Ketika ini, terdapat 10 JPKP ditubuhkan di Parlimen antaranya membabitkan bidang kewangan dan ekonomi, kesihatan, perdagangan dalam negeri, keusahawanan, kos sara hidup dan pertanian, infrastruktur, pengangkutan dan komunikasi serta pembinaan negara bangsa, pendidikan dan pembangunan sumber manusia.
Turut diwujudkan ialah JPKP bagi wanita, kanak-kanak dan pembangunan masyarakat, alam sekitar, sains dan perladangan, keselamatan, perhubungan antarabangsa dan perdagangan antarabangsa serta hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya turut akan mengadakan sesi penerangan esok mengenai penyata badan itu berkaitan Pembangunan Tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini. – MalaysiaGazette
















