Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Ahli parlimen, Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary mendakwa berlaku percanggahan besar dalam kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung jumlah perbelanjaan penjenamaan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata, Mohd Na’im sebelum ini menyatakan bahawa kos yang terlibat hanya RM5.9 juta, namun dokumen yang dimilikinya menunjukkan jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi.

“Kalau maklumat ini benar, saya serah kepada menteri untuk justifikasi bahawa jawapan Menteri Agama bahawa RM5.9 juta terlibat dalam perbelanjaan rebranding TH itu sangat salah.

“Ini kerana dokumen ini menunjukkan ianya adalah sekitar RM20 juta sebab dalam dokumen ini adalah RM18 juta, jadi itu yang saya sebut. Sedangkan Menteri Agama beritahu RM5.9 juta sahaja,” katanya ketika sesi Perbahasan Rang Undang Undang Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut menimbulkan persoalan berhubung jawapan Menteri Agama kepada Datuk Idirs Ahmad (PN-Bagan Serai) yang menyatakan terdapat 23 syarikat diluluskan kepada bukan Islam ketika era pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Seolah-olah kerja rebranding secara single source ataupun direct award. Sedangkan saya telah buat semakan bahawa ada di antaranya dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputera. Jadi tidak betul digambarkan itu kerja rebranding, padahal sebenarnya ia tender terbuka di zaman kami,” tegasnya.

Ahmad Marzuk turut membangkitkan isu kekeliruan peranan syarikat yang terlibat, sama ada benar-benar untuk kerja penjenamaan atau bagi projek lain.

Katanya, perkara itu wajar diperjelaskan oleh kerajaan bagi mengelak imej Tabung Haji terus dipertikai.

Dalam masa sama, beliau meminta penjelasan berhubung sejauh mana imuniti Ahli Parlimen melindungi mereka sekiranya mendedahkan maklumat sulit di dalam Dewan atau di luar Dewan.

“Kalaulah ada maklumat sulit yang sampai kepada kita (pembangkang), sejauh mana imuniti ahli-ahli Dewan ini untuk mendedahkan maklumat sulit kalau sekiranya ianya benar sulit dalam Dewan dan luar Dewan.

“Saya tidak mahu apabila saya usulkan maklumat tambahan akan dikira sebagai langgar peraturan Dewan dan kalau saya sebut di luar, mungkin boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kemudian menasihatkan supaya Ahmad Marzuk mengusulkan fakta baharu itu secara rasmi.

“Masukkan perkara baru dan usulkan sekali. Usulkan kedua perkara itu, fakta baru sekali dalam usul tapi dalam Dewan,” ujar beliau.

Minggu lalu, Mohd Na’im memberitahu Dewan Rakyat bahawa kos menggunakan perunding bagi tujuan penjenamaan syarikat itu ialah RM5.9 juta untuk tiga tahun, dan bukan RM20 juta seperti yang didakwa.

Sejak ditubuhkan pada 1963, TH telah melakukan semakan penjenamaan sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1969, 1995 dan 2009.

Mohd Na’im bagaimanapun berkata, tuduhan kerajaan hari ini melantik syarikat bukan bumiputera dengan kontrak bernilai RM20 juta bagi kerja penjenamaan TH adalah bersifat fitnah, tidak bertanggungjawab serta jelas bermotif politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast