Noor Azleen Ambros

JOHOR BAHRU – Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mencampuri urusannya.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Amboros berkata, tindakan itu wajar jika masih ada mana-mana pemimpin DAP atau parti politik lain yang masih berdegil cuba mencampuri urusan MPPn dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang diperuntukan kepada MPPn.

“Pemuda UMNO Johor turut yakin MPPn tidak akan tunduk dengan sebarang desakan, ugutan mahupun tuntutan daripada mana-mana pihak dalam melaksanakan tugasnya dengan adil dan tegas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsuddin mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan notis penutupan kepada sebuah klinik di Pontian selama 30 hari yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular.

Menurut Abdul Azim, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP 2019, iaitu berhubung kewajipan pengibaran bendera.

Terdahulu Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam satu kenyataan berkata, arahan penutupan itu disifatkan keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.

Menurut DAPSY, tindakan MPPn itu juga melampaui kuasa dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tatakelola kerajaan tempatan.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, ⁠Pemuda UMNO Johor memuji tindakan penguatkuasaan pantas dan tegas pihak MPPn dalam isu itu.

Pihaknya yakin bahawa MPPn telah bertindak secara wajar mengikut bidang kuasa dan lunas undang-undang seperti yang telah diperuntukkan kepada MPPn sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, tindakan pemimpin parti DAP itu jelas menganggu tugas MPPn, berniat untuk mencampuri urusan serta cuba untuk mempengaruhi keputusan pegawainya dalam melaksanakan tugas mereka sebagai sebuah PBT.

Pemuda UMNO Johor tambahnya, kesal dengan pendekatan dwistandard dan sikap hipokrit dan tidak konsisten pemimpin parti DAP yang telah mempertikai tindakan penguatkuasaan oleh MPPn itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast