KUALA LUMPUR – Pencerobohan data di negara ini mencatatkan peningkatan mendadak 1,100 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, dari Januari hingga Oktober 2024 negara mengalami kerugian lebih RM1.22 bilion akibat pelbagai aktiviti jenayah siber termasuk penipuan kewangan, penipuan dalam talian, manipulasi identiti dan pencerobohan data.
CyberSecurity Malaysia melaporkan lebih 5,900 insiden pada 2023, termasuk 3,705 kes penipuan.
Menurut beliau, lonjakan ini membuktikan betapa seriusnya ancaman keselamatan siber terhadap ekonomi dan kepercayaan awam.
“Ängka ini jelas menunjukkan kesan besar terhadap gangguan ekonomi dan hilangnya kepercayaan dalam ekosistem digital negara.
“Sehubungan itu, saya menyeru supaya PDRM menyesuaikan diri dan menangani cabaran ini secara langsung. PDRM mesti berevolusi menjadi sebuah organisasi berasaskan digital, diterajui risikan, serta fleksibel dan proaktif,” kayanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby, hari ini.
Turut hadir, Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim.
Mohd Khalid berkata, beliau komited memodenkan pendekatan dengan meningkatkan keupayaan forensik digital, memperkukuh penyelarasan risikan, kerjasama kolektif antara agensi dan antarabangsa, selain membangunkan kemahiran anggota secara berterusan.
“Membanteras jenayah siber bukan sahaja tugas polis, sebaliknya ia memerlukan kerjasama menyeluruh merentasi jentera kerajaan serta sokongan masyarakat,” tegasnya.
Menurutnya, penganjuran siri dialog itu menjadi platform utama untuk bertukar pandangan operasi, merangka cadangan dasar dan menggalakkan kerjasama strategik antara pelbagai pihak.
“Sesi ketiga ini memberi tumpuan kepada kerumitan serta kesegeraan jenayah siber yang semakin meningkat, menjadikannya topik yang amat relevan dan kritikal dalam persekitaran hari ini.
“Agenda dialog direka secara teliti dan komprehensif, menampilkan dialog peringkat menteri mengenai pengukuhan kerangka pertahanan digital negara, panel pakar berhubung undang-undang, teknologi dan penguatkuasaan, selain perbincangan meja bulat mengenai kerjasama serantau serta pengurusan ancaman rentas sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette
















