KUALA LUMPUR – MCA menggesa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjawab beberapa persoalan penting berhubung penilaian keselamatan susulan kemalangan roller coaster yang berlaku di sebuah taman tema, di Subang Jaya, baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Cally Ting berkata, antara persoalan yang lebih mendesak kini ialah sama ada roller coaster yang terlibat telah dilarang secara rasmi daripada beroperasi sementara menunggu penilaian keselamatan penuh.
Katanya, JKKP di bawah Kementerian Sumber Manusia, sememangnya mempunyai kuasa berkanun untuk campur tangan sekiranya sesuatu jentera boleh mendatangkan bahaya kepada keselamatan awam.
Selain itu, beliau turut menggesa agar JKKP Selangor memberikan jawapan yang jelas terhadap beberapa persoalan utama iaitu status semasa Perakuan Kelayakan (Certificate of Fitness) roller coaster tersebut susulan kemalangan berkenaan, dan adakah Perakuan Kelayakan baharu perlu dikeluarkan sebelum ia boleh kembali beroperasi?
Beliau juga mahu JKKP menjawab sama ada pemeriksaan keselamatan yang telah atau akan dijalankan sebelum permainan tersebut dibenarkan dibuka semula, dan siapakah yang akhirnya akan memperakui bahawa ia selamat untuk beroperasi?
“JKKP mempunyai kuasa undang-undang, kepakaran teknikal serta mekanisme penguatkuasaan untuk bertindak.
“Tidak seharusnya berlaku kelewatan yang tidak perlu dan tidak boleh timbul kekaburan mengenai agensi yang bertanggungjawab memastikan permainan ini selamat sebelum membawa penumpang lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, persoalan-persoalan tersebut bukan bertujuan untuk membuat kesimpulan awal mengenai punca kemalangan.
Sebaliknya, ia adalah untuk memastikan tindakan kawal selia dilaksanakan dengan segera, telus dan bertanggungjawab.
“Sepuluh orang dilaporkan telah cedera. Pihak berkuasa seharusnya bertindak terlebih dahulu, menjalankan siasatan secara menyeluruh, dan hanya membenarkan operasi disambung semula apabila aspek keselamatan telah dipastikan dengan sewajarnya,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan 10 orang pengunjung cedera selepas roller coaster mengalami kerosakan teknikal di sebuah taman tema di daerah Subang Jaya, malam kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira 9 malam itu, seramai 22 pengguna berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















