SEPANG – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan kawalan sempadan secara bersama di lokasi sama bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor–Singapura yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, RUU itu akan dibentangkan selewat-lewat Februari tahun depan berikutan kesuntukan jangka masa sebelum pengoperasian RTS itu.
Beliau berkata, keperluan menggubal satu undang-undang baharu itu wujud berikutan ada 37 pelbagai akta dalam negara membabitkan sempadan yang perlu diubah dengan pengoperasian kawalan sempadan secara bersama antara kedua-dua negara itu.
“Kalau sudah sampai 37 akta, dalam satu akta itu ada seksyen (peruntukan undang-undang) yang mesti kita patuhi bagi membolehkan satu sahaja keputusan bersama boleh berjalan iaitu co-located.
“Jadi, pilihan yang kita ada ialah buat satu RUU baharu dengan mengambilkira semua keperluan seksyen dalam akta sedia ada… 37 (akta) jadi item terperinci. Itu saya akan umumkan bila tiba masanya.
“Buat masa ini memadai saya nak sebut pencapaian penting (milestone) dari sudut sistem undang-undang, kita kena adakan satu undang-undang baharu bagi membolehkan apabila operasi RTS Woodland – Bukit Chagar bermula, pergerakan orang ramai dan barangan mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, Di Sempadan Kita Bermaruah di Terminal 1, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saifuddin seterusnya berkata, undang-undang itu perlu berikutan pelaksanaan kawalan sempadan di secara bersama itu akan menyaksikan penempatan pegawai imigresen Malaysia dalam sempadan Singapura dan sebaliknya.
Beliau berkata, mengambilkira Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang beroperasi di kedua-dua stesen di Bukit Chagar dan Woodlands North, pihaknya kini dalam usaha memperincikan keperluan pengoperasian.
“Kami sudah bangunkan senarai semak penyeluruh termasuklah kita bangunkan SOP (prosedur operasi standard), perkukuh perjawatan, perolehan autogate, pengimbas dan lain-lain,” katanya.
Projek RTS Link dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan mula beroperasi awal 2027 dengan perjalanan antara Bukit Chagar dan Woodlands North hanya mengambil masa lima minit.
RTS Link adalah laluan rel ulang alik sepanjang empat kilometer dengan dua stesen utama, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.
MRT Corp bertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.
Laluan itu dijangka menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan berupaya mengurangkan kesesakan di Tambak Johor yang kini mencapai kapasiti maksimum 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala. – MalaysiaGazette
















