Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Peluncuran Benteng Persada di Lapangan Terbang Antarabangsa 1 Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2025.

SEPANG – Seramai 17,658 warga asing telah dikenakan notis penolakan masuk atau Not To Land (NTL) oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) sehingga Julai ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebahagian besar mereka itu adalah warga asing yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan penolakan kemasukan dikenakan atas pelbagai sebab.

“Daripada jumlah tersebut, 13,790 adalah yang masuk melalui KLIA dan sehingga Julai tahun ini juga, jumlah rampasan barangan larangan dan tanpa permit yang ditahan AKPS di pintu masuk bernilai RM 1.9 juta.

“Dari segi sumber manusia, buat masa ini jumlah keseluruhan adalah 5,180,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu Di Persada Kita Bermaruah di KLIA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan AKPS dan Kementerian Dalam Negeri sedang bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam memperincikan sistem perkhidmatan baharu AKPS.

Tegas beliau, skim perkhidmatan baharu ini akan membantu mengukuhkan lagi aspek operasi dan pengurusan AKPS sebagai single border agency (agensi tunggal kawal selia sempadan) termasuk di laluan Operasi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.

“Malaysia dan Singapura telah mencapai persetujuan berhubung penempatan stesen Pemeriksaan, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) secara bersama (co-located) bagi laluan RTS.

“Di pihak Malaysia, stesen CIQ akan ditempatkan di Bukit Cagar, Johor Bahru, manakala di Singapura, stesen berkenaan akan ditempatkan di Woodlands North,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast