KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mempersoalkan berkenaan takrifan kategori baharu iaitu T15 yang tidak layak menerima subsidi petrol RON95 apabila penyelarasan subsidi itu dilaksanakan kelak.
Menurut beliau, sehingga kini, tiada penjelasan rasmi diberikan berhubung definisi kategori T15 itu termasuk kaedah pengklasifikasian atau mekanisme pengesahan dan rayuan bagi rakyat yang terkesan ekoran langkah penyelarasan subsidi tersebut.
Situasi itu, katanya, menyebabkan ramai pengguna kini berisiko disalahklasifikasikan termasuk keluarga M40 bandar yang terpaksa berbelanja besar untuk pengangkutan harian tetapi tidak dianggap layak menerima subsidi.
“Persoalannya, apakah indikator dan asas penentuan yang akan digunakan oleh kerajaan untuk menyenaraikan individu atau isi rumah dalam T15?
“Adakah ia berdasarkan pendapatan kasar, pendapatan boleh belanja, lokasi tempat tinggal, jenis kenderaan atau sumber data lain yang tidak dikemas kini?” soalnya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan kekal dengan perancangan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 dan perincian lanjutnya dijangka diumumkan menjelang akhir September 2025.
Menjawab soalan pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, Amir Hamzah menambah, langkah itu perlu berikutan dasar subsidi pukal yang diamalkan sejak sekian lama hanya membebankan fiskal negara dan tidak memberi manfaat kepada majoriti rakyat.
Sementara itu, Ka Siong berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 berlaku dalam keadaan rakyat tidak tahu status kelayakan mereka dan tiada ruang untuk semakan atau rayuan.
Menurutnya, ketiadaan takrifan yang jelas dan saluran komunikasi yang telus akan menjejaskan keyakinan rakyat, bukan sahaja terhadap mekanisme subsidi, tetapi juga terhadap dasar penyasaran kerajaan secara keseluruhan.
“Apakah bentuk notifikasi, saluran pengesahan dan sistem rayuan yang akan diwujudkan untuk melindungi hak rakyat?” soalnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan yang menyeluruh, bukan sekadar dari segi teknikal pelaksanaan tetapi dari segi prinsip keadilan sosial dan keterbukaan dasar.
Tambahnya, jika penyasaran subsidi petrol RON95 ingin dilaksanakan, maka ketelusan mekanisme dan ketepatan data adalah syarat mutlak, bukan pilihan. – MalaysiaGazette
















