Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegur Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) agar menumpukan usaha membanteras penyeludupan arak berbanding mengganggu orang awam yang menyimpan koleksi minuman keras di rumah.

Menurutnya, kenyataan JKDM baru-baru ini yang mengingatkan orang ramai bahawa menyimpan arak dalam kuantiti besar mungkin menyalahi undang-undang adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Di bawah Akta Eksais 1976, menyimpan arak untuk kegunaan peribadi bukanlah satu kesalahan.

“Malangnya, Kastam menggunakan frasa ‘mungkin melanggar undang-undang’ yang mengundang kekeliruan serta menimbulkan persepsi seolah-olah perbuatan itu jenayah,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempertikai tanggapan bahawa mana-mana individu yang memiliki koleksi arak dalam jumlah besar secara automatik berniat untuk menjual.

“Jumlah botol tidak boleh dijadikan asas semata-mata. Untuk membezakan pengumpul dengan peniaga haram, lihat kepada corak pembelian, bukan hanya bilangan atau jenis botol,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan syarat menyimpan resit pembelian selama tujuh tahun sebagai tidak munasabah.

“Kebanyakan isi rumah tidak mampu menyimpan resit selama itu. Tambahan pula, setiap botol sudah pun mempunyai label cukai.

“Kalau cukai sudah dibayar, kenapa pengumpul perlu dianggap penjenayah?” soalnya.

King Sing menambah bahawa banyak koleksi arak yang disifatkan berlebihan sebenarnya adalah stok keluarga yang diwarisi atau pembelian pukal untuk mendapatkan harga lebih murah, bukan untuk tujuan perniagaan.

“Budaya berkongsi minuman bersama tetamu adalah amalan biasa dalam kalangan bukan Islam, malah ada yang menjadikan pengumpulan minuman istimewa sebagai hobi. Tidak wajar rakyat diperlakukan seolah-olah mereka penjenayah,” katanya.

Hal ini kerana menurutnya, masalah sebenar adalah arak seludup yang tidak selamat di pasaran dan boleh mengancam nyawa.

“Penguatkuasaan harus berdasarkan bukti kukuh. Jangan sampai lebih berminat menyerbu rumah orang daripada mengekang penyeludupan di sempadan.

“Itu membazirkan sumber awam dan menimbulkan persoalan tentang niat sebenar,” ujarnya.

Beliau mengingatkan bahawa rakyat membayar cukai dengan harapan pihak berkuasa menyelesaikan masalah utama, bukannya menekan mereka yang tidak bersalah.

Jika penguatkuasaan undang-undang tersasar, King Sing berkata, situasi itu hanya menimbulkan rasa marah dan hilang kepercayaan terhadap kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast