Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari. Foto AFFAN FAUZI, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan membawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) sekali lagi tergendala apabila ia tidak dibahas dan tidak diundi di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan perkembangan itu sebagai kemenangan besar kepada rakyat yang konsisten menolak pelaksanaan akta tersebut.

“URA tidak dibahas dan tidak diundi hari ini. Satu lagi kemenangan kepada rakyat! Teruskan menentang,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dewan Rakyat hari ini menyaksikan RUU yang dibawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.

RUU tersebut berdepan penolakan daripada wakil rakyat pembangkang dan beberapa dalam kalangan pemerintah, termasuk daripada PKR dan Barisan Nasional.

RUU berkenaan sepatutnya dibentang untuk bacaan kedua hari ini, namun perbahasan dan pengundian akan dilakukan pada sidang akan datang.

Menurut takwim Dewan Rakyat di laman Parlimen, mesyuarat ketiga bagi penggal keempat Parlimen ke-15 tahun 2025 akan bermula 6 Oktober dan berakhir pada 4 Disember.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menegaskan pendirian beliau dan rakan-rakan dalam blok pembangkang tetap konsisten menolak sebarang usaha yang dilihat boleh menjejaskan hak pemilik rumah serta komuniti bandar.

Beliau menambah, RUU berkenaan masih kabur daripada segi perlaksanaan dan berpotensi menimbulkan pelbagai masalah termasuk isu pemilikan tanah serta perpindahan penduduk tanpa persetujuan yang jelas.

Katanya, penangguhan URA itu seharusnya dijadikan isyarat kepada kerajaan bahawa rakyat tidak boleh dipinggirkan dalam sebarang keputusan melibatkan kepentingan mereka.

“Selagi mana URA ini tidak menjamin hak rakyat, kita akan terus bangkit menentang,” tegas beliau.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, gabungan itu bimbang akan RUU URA dan mahu ia ditangguh, disusuli libat urus dengan semua pihak.

Mohamad mengumumkan pendirian itu selepas bermesyuarat dengan semua Ahli Parlimen BN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast