KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bakal memperkukuh penguasaannya dalam industri sawit negara selepas FGV Holdings Berhad (FGV) secara rasmi telah dikeluarkan daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad berkuat kuasa jam 9 pagi tadi.
Saham FGV yang lebih sedekad disenaraikan di Bursa Malaysia telah digantung pada 25 Ogos lalu selepas Felda bersama Persons Acting in Concert (PACs) menguasai 95.29 peratus daripada jumlah keseluruhan saham syarikat berkenaan.
“Langkah penyenaraian keluar itu menandakan permulaan fasa baharu bagi Felda dalam memperkukuh struktur korporat, selain mengoptimumkan operasi ladang serta meningkatkan pulangan ekonomi kepada entiti tersebut dan pemegang taruh utama iaitu para peneroka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Felda kini boleh mengawal rantaian nilai industri sawit sepenuhnya, termasuk pengurusan hasil dan kos operasi ladang, sekali gus meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan kos serta memaksimumkan pulangan secara konsisten.
Tambahnya, pemegang saham yang menolak Tawaran Pengambilalihan Sukarela Tanpa Syarat masih boleh melaksanakan hak bagi menjual pegangan saham FGV kepada Felda sehingga 15 Januari 2026 sebelum jam 5 petang.
Tempoh pelaksanaan hak ini adalah selaras dengan notis FELDA kepada pemegang saham bertarikh 22 Ogos 2025.
Tambahnya, penyusunan semula ekosistem kumpulan ini secara menyeluruh dijangka dapat memacu pertumbuhan yang lebih mampan serta meningkatkan daya saing di peringkat global.
“Felda yakin dengan langkah ini, kesejahteraan komuniti peneroka akan terus terjamin untuk jangka masa panjang,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataannya minggu lepas, syarikat itu berkata, penstrukturan berkenaan membolehkan Felda serta koperasi dan peneroka memberi tumpuan penuh ke atas matlamat asal agensi itu bagi melindungi hak, pulangan serta kepentingan para peneroka. – MalaysiaGazette
















