Joferi bersama anak sulungnya, Nuraina Izzati, (kanan) serta cahaya mata lain ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Walaupun memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, seorang remaja terpaksa melupakan sementara hasrat melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Ini kerana Nuraina Izzati, 18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, di sini, perlu menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Oktober depan.

Dia yang memperoleh keputusan 7A dalam SPM pada tahun lalu terpaksa menangguhkan impian melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan kerana injap jantungnya semakin membengkak.

Bapanya, Joferi Martikon, 50, berkata, doktor menetapkan pembedahan pada Oktober ini dan perlu memasuki wad pada 5 Oktober dengan anggaran kos RM75,000 termasuk caj katil, makanan, pembedahan atau prosedur penjagaan, ubat-ubatan dan lain-lain rawatan serta ujian.

Bagaimanapun katanya, kos sebenar pembedahan hanya dapat diketahui dengan tepat apabila anak sulungnya itu selesai menjalani rawatan dan meninggalkan wad.

“Kami tidak mampu menyediakan dana bagi pembedahan ini, saya hanya pekerja kontrak yang tidak memiliki pendapatan, isteri pula bekerja sebagai jururawat dengan pendapatan bulanan RM2,500.

“Kami juga memiliki dua lagi cahaya mata berusia 14 tahun dan tiga tahun. Selepas pembedahan, kami perlu pula menemani anak secara bergilir-gilir dijangka selama dua minggu hingga empat minggu,” katanya ditemui di Taman Scientex di sini, hari ini.

Menceritakan penyakit yang dihidapi anaknya itu, Joferi berkata, Nuraina Izzati disahkan mengalami masalah injap jantung sempit sejak berusia 10 tahun di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, dan menjalani pemeriksaan susulan di IJN sejak berusia 11 tahun.

“Anak terpaksa bergantung kepada ubat, sejak usia 11 tahun hingga kini menjalani pemeriksaan susulan di IJN.

“Dia memang tidak boleh bersukan, sensitif kepada bunyi kuat, tidak boleh lasak kerana mudah berasa penat selain jantungnya berdegup laju,” katanya.

Joferi sudah menghantar surat permohonan bantuan kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) selain beberapa pihak berkaitan bagi memastikan pembedahan berkenaan berjalan lancar.

“Sehingga kini saya belum memperoleh sebarang maklum balas. Saya berharap anak berpeluang menjalani pembedahan seperti dijadualkan supaya dia lebih sihat, normal serta mengejar impian untuk bergelar guru pada masa depan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Nuraina Izzati boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank milik Joferi di 151146716965.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast