Suspek dibawa ke Mahkamah Balik Pulau hari ini untuk mendapatkan perintah permohonan reman.

BALIK PULAU – Guru lelaki yang bertindak mengelar isterinya dengan sebilah pisau dalam kejadian di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, pada Rabu lalu direman selama enam hari.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 4 September depan itu dikeluarkan Majistret Zaireen Zainudin di Mahkamah Balik Pulau selepas permohonan dikemukakan oleh pihak polis.

Permohonan reman itu dibenarkan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.

Terdahulu, suspek berusia 30 tahun yang memakai baju-T selain tangan kirinya berbalut serta berpelitup muka kelihatan tenang sebaik tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.13 pagi dengan diiringi anggota polis.

Selain itu, turut terdapat kesan jahitan pada leher suspek yang dipercayai akibat dia turut mengelar dirinya dalam insiden sama.

Jahitan di bahagian leher suspek dipercayai akibat dia mengelar dirinya sendiri.

Suspek juga diwakili peguam, Muhaimin Hashim dan Yazid Khairul Azman.

MalaysiaGazette semalam melaporkan hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai punca pergaduhan sehingga suspek bertindak mengelar isterinya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan awal pihak polis mendapati suspek berusia 30 tahun yang juga seorang guru itu membuat pinjaman bank untuk pelaburan saham selain pembayaran ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang.

“Setakat ini hasil siasatan mendapati punca pergaduhan pasangan itu disebab hutang namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Dakwaan suspek mempunyai hutang dengan ahlong itu tidak benar sebaliknya, dia membuat pinjaman dengan institusi kewangan yang sah,” kata Sazalee,” katanya ketika dihubungi.

Pada Rabu lalu, seorang wanita nyaris maut selepas ditikam suaminya yang juga seorang guru dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda di sini.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast